KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri mahu agar satu laluan khas diwujudkan bagi alumni Kolej Yayasan Felda (KYF) dalam menyumbang semula kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi memastikan sama ada mereka menjadi tenaga pengajar, mentor industri, pembimbing keusahawanan atau penyumbang kepakaran.
Ini kerana katanya, sejak penubuhannya, KYF telah melahirkan lebih 31,633 alumni yang kini menyumbang kepada pelbagai sektor strategik negara.
“Alumni KYF adalah aset yang amat berharga, mereka bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi juga pemangkin masa depan yang mampu mengangkat KYF dan komuniti FELDA ke tahap yang lebih tinggi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvoksyen KYF ke-26 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sambutan terhadap platform UP_TVET sejak dilancarkan pada tahun 2023 sangat luar biasa ketika ini.
Menurutnya, pada tahun pertama pelaksanaannya, sebanyak 90,558 permohonan telah diterima, manakala pada tahun kedua, iaitu pada 2024 permohonan telah meningkat mencecah melebihi 200,000 permohonan.
“Angka ini membuktikan bahawa TVET kini sedang membentuk gelombang perubahan besar dalam pembangunan modal insan negara.
“Malah, kadar kebolehpasaran graduan TVET yang mencecah 95.1 peratus juga mencerminkan betapa tinggi permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran ini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE