SECARA keseluruhan, manfaat kecerdasan buatan (AI) amat luas. Ia menyentuh hampir semua aspek kehidupan moden. Melalui penggunaan AI secara bijak serta bertanggungjawab mampu membuka peluang baharu untuk kemajuan manusia dalam cara yang lebih cekap, selamat dan lestari.
Pernah terjadi di depan mata penulis. Si A perlekeh si B kerana menggunakan ChatGPT untuk mencantikkan ayat dalam penulisannya. Tak berhenti di situ si A acap kali memerli si B. Kononnya si B ini bukan penulis yang bagus kerana menggunakan aplikasi itu.
Sebenarnya salah penulis juga sebab memberi pendapat kepada si B supaya menggunakan ChatGPT untuk ‘mencantikkan’ ayat dalam penulisannnya. Bukan ‘copy paste’ bulat-bulat. Namun, untuk rujukan. Melihat pilihan-pilihan ayat yang lebih sesuai diberikan ChatGPT.
Kurang lima tahun dahulu, wartawan masih melakukan transkrip wawancara secara manual. Kini setiap pejabat akhbar atau stesen televisyen sudah menyediakan komputer khas untuk tujuan tersebut.
Bayangkan wawancara selama 40 minit memerlukan masa lebih sejam untuk transkrip. Adalah penting menyalin kembali kata demi kata agar tidak ‘terbabas’ fakta dalam penulisan berita. Tugas itu lebih senang kini.
‘Cucuk’ sahaja audio dalam komputer khas. Keluar sepatah-sepatah perkataan. Lagi mudah muat turun sahaja aplikasi-aplikasi transkrip di App Store atau Google Play Store dalam telefon bimbit.
Jangan pula salah faham, AI ini pemudah cara. Jangan pula terlalu bergantung sehingga menghakis etika-etika kewartawanan buat rakan-rakan media.
Kita kena akui sistem komputer ini memang mampu menjalankan tugas-tugas yang memerlukan pemikiran manusia seperti membuat keputusan, menyelesaikan masalah, memahami bahasa dan mengenali imej atau suara.
Kepentingan AI semakin ketara apabila ia diterapkan dalam pelbagai sektor kehidupan merangkumi perubatan dan pendidikan, sehinggalah kepada perniagaan, keselamatan serta pertanian.
Contohnya dalam bidang perubatan, AI digunakan untuk menganalisis data pesakit dengan pantas dan membantu doktor membuat diagnosis awal, terutamanya dalam kes penyakit kronik seperti kanser atau penyakit jantung.
Buat si A tadi – penulis bukan suruh awak jadi doktor pun. Bukan main seronok dia memerli orang, masih belum terlambat untuk mula ‘mesra’ teknologi.
Penulis buat carian di ChatGPT, apakah peribahasa yang sesuai untuk individu yang tidak mesra teknologi. Terdapat empat pilihan jawapan yang diberikan: Seperti katak di bawah tempurung; bagai rusa masuk kampung; tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan berat tulang.
Peribahasa Melayu memang kaya dengan sindiran, kiasan, dan pengajaran yang halus, namun mendalam maknanya. Ketika menulis, wartawan digalakkan merujuk ejaan perkataan atau penggunaan bahasa di Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antara peribahasa yang cukup menarik perhatian penulis ialah ‘siput memuji buntut’. Merujuk kepada seseorang yang memuji perkara atau sifat pada diri sendiri yang sebenarnya bukanlah sesuatu yang hebat atau membanggakan.
Bingung juga penulis ketika berdepan individu ‘katak di bawah tempurung’ dan ‘siput memuji buntut’ ini. Nampaknya inilah kehidupan dan segala isinya.














