KUALA LUMPUR – Pasukan sepak takraw kebangsaan terus dihantui badi kekalahan kepada Thailand apabila kempunan untuk menewaskan pasukan itu dalam acara regu berpasukan pada Kejohanan Piala Raja Thai 2025.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Hatyai sebentar tadi, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu terpaksa akur gagal menamatkan kemarau selama 34 tahun selepas tewas menerusi keputusan 2-0.
Turun sebagai pasukan bukan pilihan, Malaysia pada awalnya menunjukkan aksi cukup meyakinkan menerusi regu utama yang dibarisi tekong, Mohd. Haziq Hairul Nizam, Mohd. Noraizat Mohd. Nordin (apit kanan) dan Norfaizzul Abd. Razak (apit kiri).
Biarpun menunjukkan penguasaan cukup baik di set pertama, namun kehebatan tekong Thailand, Pornthep Tinbangbon menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan negara menerusi servis ace yang dilakukan sebelum menang 15-12, 15-12.
Mata pertama diraih sekali gus menjadi suntikan semangat buat regu kedua skuad Gajah Perang bagi menghadapi pasukan Malaysia yang dibarisi Ahmad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri).
Thailand yang mempertaruhkan trio terbaik mereka menerusi tekong, Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai (apit kanan) dan Rachan Viphan (apit kiri) tidak memberikan laluan mudah buat Malaysia apabila menampilkan aksi agresif sebelum menang 17-16 di set pertama.
Hasrat pasukan negara untuk melakar kebangkitan di set kedua bagaimanapun tidak tertunai apabila Thailand menunjukkan dominasi dari segi servis dan rejaman sebelum Malaysia tewas mudah 4-15.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan ke atas Thailand dalam acara regu berpasukan adalah ketika meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Manila 1991 selepas menang 2-1 di perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE