fbpx
Gambar hiasan

Seri Liga Malaysia masih belum pudar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA Liga Malaysia dilanda kemelut kewangan melibatkan pasukan dalam saingan Liga Super musim lalu, ia mencetuskan kebimbangan dengan jangkaan bola sepak di negara ini mungkin sedang menghampiri ‘ajalnya’.

Pengumuman penarikan diri Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC dan Sri Pahang FC untuk saingan divisyen utama musim baharu nanti seakan mengesahkan bahawa tidak ada lagi yang boleh diselamatkan kecuali peminat bola sepak hanya perlu bergantung harap kepada revolusi skuad Harimau Malaya sahaja.

Namun, sebelum saingan musim baharu yang dijadual bermula awal bulan depan, seakan ada satu aura yang menerpa peminat bola sepak tanah air mengenai kemeriahan saingan bukan sahaja melibatkan 13 pasukan Liga Super, tetapi turut membabitkan 16 pasukan Liga A1 serta Liga A2 juga turut terbabit sama.

Johor Darul Takzim dan Selangor FC akan meneruskan perseteruan mereka sepanjang musim baharu nanti, namun Harimau Selatan terus diramal menguasai saingan musim depan biarpun semua pasukan bertanding ketika ini sibuk memperkuat pasukan dengan pemain-pemain baharu.

Di Pantai Timur, Kelantan The Real Warriors (Kelantan-TRW) seakan tidak mahu membiarkan Terengganu FC bersendirian menggalas cabaran selepas ketiadaan Sri Pahang apabila kembalinya ‘Godfather’ bola sepak negeri itu, Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai presiden baharu kelab berkenaan.

Memiliki reputasi yang hebat, Annuar perlu menggalas impian peminat untuk melihat Kelantan kembali ke ‘liga’ sebenar mereka selepas hampir sedekad tenggelam dalam vortex ganas bola sepak sehingga membuatkan Kelantan The Red Warriors sudahpun ditalkinkan.

Bagaimanapun, untuk Kelantan-TRW mencipta magis kembali menjadi kuasa bola sepak Malaysia tidaklah semudah percaturan di atas kertas kerana Kuala Lumpur City juga sedang giat membuat persiapan terbaik, malah Sabah FC yang mengakhiri saingan di kedudukan ketiga musim lalu, pasti memasang impian mencari penamat lebih baik kali ini.

Kuching City juga tidak boleh dipandang mudah apabila kejayaan layak ke saingan Piala Kelab Asean menjadi bukti mereka memiliki keinginan yang cukup besar untuk terus kekal dalam kelompok elit empat pasukan teratas buat musim kedua berturut-turut.

Selain itu, PDRM FC, Penang FC serta Negeri Sembilan FC tidak sunyi dengan perancangan yang sedang diatur termasuk membawa masuk pemain import dan tempatan baharu untuk mencabar saingan.

Tiga pendatang baharu, Imigresen FC, Brunei DPMM dan Melaka FC pastinya tidak bersedia untuk dianggap sebagai ‘lubuk’ mata apabila mereka sekurang-kurangnya meletakkan sasaran untuk kekal dalam saingan musim berikutnya.

Malah, kemeriahan kali ini juga turut ‘berjangkit’ kepada pasukan dari Liga A1 khususnya apabila begitu ghairah mempersiapakan pasukan termasuk menggunakan tenaga-tenaga import bagi memantapkan pasukan.

Sekadar ingatan untuk semua pasukan, kalau berbelanja perlu ikut kemampuan, jangan sampai kisah lama berulang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN