MUKAH – Seorang petani ditahan selepas melepaskan tembakan menggunakan senapang patah buatan sendiri atau ‘bakakuk’ dalam kejadian di kawasan kebun Nanga Pelugau, Ulu Balingian, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham berhubung kehilangan alat mengepam air.
Menurutnya, penahanan ke atas suspek berusia 48 tahun itu dibuat susulan laporan mengenai kejadian yang diterima pada pukul 9.55 pagi semalam daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai saudara lelaki suspek.
Katanya bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menjalankan serbuan sekitar pukul 10.30 malam, hari yang sama dan menahan suspek di sebuah rumah kebun di kawasan Nanga Pelugau.
“Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian sebagai amaran selepas berlaku perselisihan faham antara mereka berkaitan kehilangan peralatan pertanian,” katanya dalam kenyataan.
Muhamad Rizal menambah turut dirampas senapang patah buatan sendiri (bakakuk) yang disembunyikan di dalam kebun kelapa sawit berhampiran.-KOSMO! ONLINE