ATHENS – Kebakaran hutan besar-besaran tercetus di Greece selepas gelombang haba selama seminggu memuncak dengan suhu melepasi 45 darjah Celsius, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Beribu-ribu orang telah dipindahkan ketika kebakaran melanda sebilangan kampung berhampiran Athens serta di dua pulau terbesar negara itu, Crete dan Evia.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 335 anggota bomba, 19 pesawat dan 13 helikopter terlibat untuk memadamkan kebakaran.
Secara keseluruhan, 52 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara dalam tempoh 24 jam, kata jurucakap jabatan bomba.
Angin kencang menyebabkan api merebak dengan pantas dan mengakibatkan beberapa kawasan penempatan penduduk terpaksa dipindahkan.
Letupan turut kedengaran ketika kepulan asap besar menyelubungi kampung Drosopigi yang terletak kira-kira 24 kilometer di utara Athens. Ia menempatkan kilang-kilang dengan bahan mudah terbakar.
Kebakaran di Pulau Evia adalah yang terbaharu dicetuskan oleh angin kencang dan keadaan kering dalam bulan ini.
Sementara itu, di Pulau Kythera, pihak berkuasa memindahkan penduduk di kampung Aroniadika, Pitsinades dan Aryoi.
Penduduk kampung Kryoneri dan Sellas di kawasan Messinia, barat Athens juga diarahkan untuk meninggalkan rumah masing-masing.
Kawasan itu berada dalam senarai wilayah Greece yang berisiko tinggi dilanda kebakaran hutan akibat suhu yang memecahkan rekod dan angin kencang. – AGENSI