fbpx
BURUNG unta merupakan tarikan utama di PD Ostrich Show Farm, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mendekati haiwan jinak dalam ladang di PD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANTAI Teluk Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan mempunyai satu tempat tarikan unik yang sesuai untuk seisi keluarga iaitu PD Ostrich Show Farm.

Burung unta menjadi tarikan utama di situ, apabila pengunjung boleh melihat sendiri saiz dan keunikan haiwan itu dalam suasana ladang yang santai serta mendamaikan.

Bukan sekadar ladang burung unta, lokasi tersebut menawarkan pengalaman pembelajaran dan riadah yang menyeronokkan menerusi pelbagai aktiviti interaktif bersama haiwan jinak.

Pengunjung berpeluang berinteraksi secara dekat dengan haiwan seperti kambing, arnab, kuda dan tikus belanda.

Selain itu, para pengunjung boleh mencuba aktiviti seperti memberi makan kepada haiwan, menunggang kuda atau berlari bersama burung unta.

Berkongsi dengan CitaRasa, pemilik PD Ostrich Farm, Chris Lee memberitahu, premis itu merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang menawarkan pengalaman mendekati burung unta.

“Di sini kami menempatkan 20 ekor burung unta yang jinak dan boleh didekati, khusus buat peminat haiwan ini.

BERLARI dengan burung unta merupakan salah satu aktiviti menarik di PD Ostrich Show Farm.

“Malah, kami juga menyediakan trek bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman berlumba lari dengan burung unta di sini,” katanya.

Lee menambah, berlari dengan burung unta merupakan aktiviti paling disukai oleh pengunjung, sama ada individu dewasa atau kanak-kanak.

Bagi pengunjung yang mahu menyaksikan pertunjukan burung unta, ia diadakan setiap hari pada pukul 11.30 pagi dan 2.30 petang.

Selain burung unta dan haiwan jinak, PD Ostrich Farm juga menawarkan haiwan eksotik seperti ular serta beberapa jenis ikan.

Turut menjadi tarikan di situ adalah Herbal Oasis iaitu sebuah ladang yang mempunyai lebih daripada 250 jenis tumbuhan herba.

Ujar Lee, ladang tersebut diuruskan oleh sebuah keluarga pengamal herba tradisional termasuk beberapa individu yang mempunyai kelulusan akademik dalam bidang perubatan herba.

“Herbal Oasis biasanya dibuka pada hujung minggu. 

Sementara pada hari-hari lain, pengunjung perlu membuat temu janji untuk menikmati hidangan makan tengah hari atau minum petang berasaskan herba di situ,” katanya.

Menariknya di sini, pengunjung juga boleh menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dan mengunjungi Planet Jurassic untuk merasai pengalaman seolah-olah melihat dinosaur sebenar.

PARA pengunjung berpeluang menunggang ATV di sekitar ladang.

Tempat itu turut menempatkan kafe kucing yang membolehkan pengunjung bermain dengan haiwan comel tersebut.

“Buat masa ini, kami belum menyediakan makanan dan minuman di kafe tersebut kerana masih belum dibuka sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung dikenali sebagai Chong berkata, dia menyifatkan PD Ostrich Show Farm sebagai menarik, khususnya buat kanak-kanak yang meminati haiwan jinak.

“Ladang ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tentang pelbagai jenis haiwan dan sumber makanannya.

“Bagi individu dewasa pula, ia lokasi menarik untuk menyegarkan minda dan berhubung semula dengan alam semula jadi,” katanya.

Untuk makluman, PD Ostrich Farm dibuka setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang. 

Harga tiket masuk bagi individu dewasa adalah RM25 seorang, manakala kanak-kanak berharga RM20.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN