SHAH ALAM – Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim enggan ‘pening kepala’ mengenai potensi dilantik kapten baharu pasukan, sebaliknya fokus untuk menaikkan kembali aura peribadi pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Status mengenai pemimpin baharu Gergasi Merah menjadi tanda tanya selepas kapten musim lalu, Safuwan Baharudin dipinjamkan ke kelab Singapura, Lion City Sailors.
Faisal yang menjadi penolong kapten musim lepas mengakui tumpuan utama adalah untuk bangkit semula selepas mengharungi detik hitam dalam kariernya apabila menjadi mangsa simbahan asid tahun lalu.
“Apa yang penting bagi saya adalah prestasi di atas padang, diberikan tugas kapten atau tidak, ia bukanlah isu utama. Saya mahu prestasi kembali seperti dahulu.
“Kalau diberikan tugas kapten, ia bakal menjadi tanggungjawab yang besar kerana saya perlu mengawal keadaan di bilik persalinan dan di atas padang, ia bukan tugas yang mudah.
“Buat masa sekarang, saya fokus meningkatkan prestasi setiap hari. Dengan bantuan jurulatih dan rakan-rakan, saya harap musim depan adalah masa untuk saya bangkit membawa semula aura Faisal Halim,” katanya.
Faisal, 27, disebut-sebut bakal diberikan lilitan kapten Selangor pada aksi pramusim bertemu Asia Warriors di Stadium MB Petaling Jaya malam esok.
Pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi menganggap perlawanan bertemu Asia Warriors sebagai ujian terakhir sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Piala Sumbangsih, 8 Ogos nanti.
“Saya harap semua dapat berikan fokus pada perlawanan ini selepas mengharungi pramusim di Thailand. Kita berada di landasan yang tepat sebelum mengharungi ujian sebenar bertemu JDT nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE