GUA MUSANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menggalakkan lebih ramai pekebun bumiputera menyertai penanaman durian musang king kerana hasilnya boleh mencecah puluhan ribu semusim.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, pekebun tanaman durian jenis musang king dalam kalangan golongan bumiputera di negara ini dilihat masih kurang berbanding masyarakat Cina.
Katanya, kebanyakan golongan Melayu menanam durian musang king, namun secara tradisional untuk sumber makanan keluarga dan tidak dikomersialkan.
“Hasil tanaman durian itu memakan masa selama enam hingga tujuh tahun. Jika mahu mengusahakan durian musang king, ia mengambil masa dan memerlukan kerajinan termasuklah untuk proses penjagaan, membenih termasuk pembajaan.
“Kita masih banyak tanah untuk mengusahakan tanaman durian. Kita lihat di Gua Musang mempunyai tempat dan tanah paling subur untuk mengusahakan durian musang king,” katanya selepas merasmikan Pesta Durian 2025 Gua Musang di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, jumlah peniaga durian Melayu yang menceburi perniagaan durian masih rendah sekali gus beliau berharap lebih ramai golongan pekebun kaum Cina dan Melayu bergabung untuk bersama membangunkan perusahaan durian. – KOSMO! ONLINE