GUA MUSANG –Lelaki yang pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai manusia tertinggi di Malaysia, Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar, 31, kini hanya mampu berkurung di rumahnya di sini selepas menghadapi masalah sakit tulang selain tidak dapat berjalan sejak dua tahun lalu.
Mohd. Azli Hisyam dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3 di sini dan mempunyai ketinggian 2.11 meter itu hanya mampu bergerak dengan cara merangkak.
Menurutnya, masalah sakit tulang yang dihadapi menyebabkan dia juga tidak boleh berdiri dan berjalan.
“Sudah dua tahun tidak keluar rumah dan hanya menjalankan perniagaan menjual kad koleksi Pokemon di TikTok dengan pendapatan RM500 sebulan.
“Saya tidak boleh berdiri dan berjalan sejak dua tahun lepas. Kalau nak pergi ke tandas atau ke mana-mana saya terpaksa merangkak.
“Saya hanya mampu melakukan kerja secara dalam talian termasuk melakukan siaran langsung di platform TikTok menjual kad koleksi Pokemon,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi
Kesedar Perkilangan Sdn. Bhd. (KPSB), Mohd. Syahbuddin Hashim di rumahnya di RKT Kesedar Paloh 3 di sini semalam.
Mohd. Azli Hisyam berkata, dia sebelum ini mengusahakan kolam ternakan udang kara dan kini terpaksa menyerahkan urusan itu kepada bapanya.
“Saya berharap dapat berjalan semula dan bersedia melakukan rawatan untuk memulihkan penyakit ini,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Abdul Ghafar Omar, 79, turut berharap anak ketujuh daripada lapan beradik itu terus kuat untuk kembali pulih seperti biasa,
Katanya, anaknya pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kepala di Hospital Kuala Lumpur pada 2018.
“Masalah sakit tulang yang dihadapi menyebabkan dia tidak dapat keluar rumah dan memandu kenderaan seperti biasa.
“Kami hanya berdoa Mohd. Azli Hisyam kembali sihat dan tidak berputus asa untuk kembali sembuh seperti dahulu. Kami juga berharap pakar perubatan moden atau tradisional dapat tampil untuk membantunya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Syahbuddin berkata, pihaknya akan berusaha mencari bantuan dan merujuk pakar perubatan berkenaan penyakit masalah sakit tulang yang dihadapi Mohd. Azli Hisyam.














