PARIS – Pemimpin-pemimpin Israel mengecam pengumuman Presiden Emmanuel Macron semalam bahawa Perancis akan secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, keputusan itu ‘memanfaatkan keganasan’ dan menimbulkan ancaman kewujudan di samping menyediakan ‘tapak untuk menghapuskan’ Israel.
“Jelas sekali: rakyat Palestin tidak mahu sebuah negara di samping Israel; mereka mencari sebuah negara sebagai ganti Israel,” katanya.
Terdahulu, Macro berkata, Perancis akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini sekali gus negara Eropah paling berkuasa mengumumkan langkah sedemikian.
Sekurang-kurangnya 142 negara kini mengiktiraf atau merancang untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, demikian menurut angka AFP walaupun Amerika Syarikat dan Israel menentang keras langkah tersebut.
Sebilangan negara pula mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin sejak Israel menyerang Gaza dalam tahun 2023.
Sementara itu, pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin, Hussein al-Sheikh menyambut baik pengumuman Macron dan berkata, ia mencerminkan komitmen Perancis kepada undang-undang antarabangsa dan sokongan Paris kepada hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri dan mendirikan sebuah negara merdeka.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza membunuh seramai 59,587 rakyat Palestin dengan kebanyakan mereka ialah penduduk awam. – AFP