DUNGUN – Seekor harimau kumbang yang berkeliaran di Kampung Belimbing, Hulu Dungun, di sini sejak dua minggu lalu terus mengganas dengan membaham ayam peliharaan penduduk.
Terbaharu, haiwan itu dikatakan menceroboh reban dan membaham ayam pada pukul 3.30 pagi, Isnin lalu.
Penduduk, Azlina Arif, 35, berkata, dia terjaga pada awal pagi selepas terdengar bunyi bising sebelum ternampak kelibat haiwan seperti harimau kumbang menghampiri reban yang terletak di luar rumahya.
“Saya tergamam, dalam keadaan menggigil saya berlari ke bilik ayah untuk memaklumkan perkara itu. Ayah dan abang memberanikan diri memeriksa reban, namun harimau kumbang itu sudah tiada,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Azlina, keluarganya mendapati seekor ayam di dalam reban ‘ghaib’ dipercayai dilarikan haiwan buas tersebut.
Terdapat beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau kumbang di sekitar reban.
“Kemunculan haiwan ini amat menakutkan, saya harap ia ditangkap segera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai ayam milik penduduk yang hilang dipercayai dibaham haiwan liar tersebut.
“Harimau kumbang sama juga dikatakan pernah mencuri kotak berisi daging mentah milik penduduk yang juga peniaga daging salai di sini,” katanya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong memberitahu, pihaknya akan memperketatkan pemantauan selain memasang perangkap di kampung tersebut.














