MERSING – Penduduk di Pulau Aur yang terletak paling jauh di perairan daerah ini berdepan kebimbangan apabila rumah mereka diceroboh nelayan asing, malah makanan turut dicuri.
Kejadian berlaku ketika nelayan asing datang untuk berlindung daripada angin kencang setiap kali musim tengkujuh, namun mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Aur, Sabinah Md. Seth berkata, pulau tersebut akan terputus hubungan dari segi pengangkutan apabila cuaca buruk.
Bagaimanapun, bantuan bekalan makanan telah diagihkan lebih awal oleh Pejabat Daerah dan pihak-pihak lain.
“Namun masalah timbul apabila nelayan luar, termasuk dari Thailand, datang berteduh di kawasan ini.
“Ada yang datang sehelai sepinggang, masuk kampung, ambil makanan menceroboh rumah orang,” katanya ketika ditemui di Kampung Berhala, Pulau Aur di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk bimbang keselamatan diri dan keluarga kerana hanya dua anggota polis ditempatkan di pondok polis terletak di Kampung Berhala.
“Kalau mereka nak ke pulau-pulau berhampiran pun tak boleh, sebab tiada bot besar. Sebab itu kami mohon kerajaan pertimbang wujudkan pos keselamatan tetap di sini.
“Jadi kami harap agensi seperti Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Laut dapat membuka pos tetap untuk bantu keselamatan penduduk,” katanya.
Ujarnya, ketika bukan musim cuti, jumlah penduduk tetap di pulau itu hanya 128 orang.
Bagaimanapun, jumlah itu boleh melebihi 500 orang pada musim cuti sekolah, musim kebun atau musim durian apabila penduduk asal pulang ke kampung halaman.
“Mereka berhijrah pun sebab nak sekolahkan anak atau cari kerja tetapi kampung tetap kampung apabila cuti semua balik,” katanya.