SINGAPURA – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak kisah diejek gemar ‘membeli-belah’ pemain musuh setempat, Chelsea dalam usaha memperkasakan pasukan menjelang saingan musim baharu nanti.
Terbaharu, The Gunners mendapatkan khidmat pemain sayap Chelsea, Noni Madueke dengan nilai £52 juta (RM298.01 juta) meskipun sebahagian besar peminat Arsenal membantah keputusan tersebut.
Arteta berkata, beliau menganggap juara Eropah dua kali itu memiliki ramai pemain hebat sehingga menyebabkan pihak pengurusan Arsenal sentiasa mengintai peluang bagi mendapatkan pemain Chelsea.
“Keputusan Arsenal mendapatkan pemain-pemain Chelsea mungkin kerana mereka memiliki ramai pemain hebat. Bagaimanapun, kami sekarang hanya mahu fokus dengan pemain yang sudah dibawa masuk.
“Secara jujur, saya tidak kisah pemain itu dari pasukan mana sekali pun kerana apa yang paling penting adalah bakat mereka. Pembelian pemain Chelsea mungkin juga secara kebetulan,” katanya.
Setakat ini, ramai pemain Chelsea sudah berhijrah ke Stadium Emirates termasuk Madueke, Jorginho, Kai Havertz, serta beberapa pemain yang dianggap legenda seperti Willian, David Luiz dan Petr Cech.
“Buat masa ini, kami masih memantau pasaran pemain kerana kami memerlukan lebih ramai pemain menjelang musim depan. Pemain-pemain baharu mampu menjadi nilai tambah buat pasukan,” ujar Arteta. – AGENSI