SUNGAI PETANI – Seorang lelaki Myanmar maut selepas dipercayai dibunuh rakan senegara dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan projek perumahan, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an ditemui dengan kecederaan pada leher dan perut dengan usus terburai.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dengan rakan sebiliknya yang juga warga Myanmar sebelum mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.
“Suspek yang berusia lingkungan 50-an melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran selepas kejadian,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 22 individu turut ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
“Kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai bekerja sebagai buruh binaan di tapak projek perumahan berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, usaha mengesan suspek utama sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE