fbpx
Zaim Ikhwan dan Ismanira di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Ismanira sebak sebut nama Zayn, tidak pernah abai seperti dalam pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ismanira Abdul Manaf sebak ketika menyebut nama anak sulungnya itu sewaktu memberi kenyataan bela diri di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Situasi itu dapat dilihat selepas Ismanira, 30, memaklumkan nama anak pertamanya ialah “Zayn Rayyan Abdul Matin” yang lahir pada 2017, manakala anak lelaki keduanya lahir pada 2019.

“Saya ada dua anak lelaki. Anak pertama Zayn Rayyan yang lahir pada 22 Februari 2017.

“Anak kedua saya ialah Zahin Mateen yang lahir 27 Februari 2019,” katanya yang merupakan saksi pembelaan pertama ketika memberi keterangan bersumpah dari kadang saksi pada pemeriksaan utama oleh peguam Haresh Mahadevan.

Ismanira menyatakan Zayn Rayyan meninggal dunia ketika kanak-kanak itu berusia enam tahun, manakala anak keduanya dipelihara ahli keluarga di Seremban.

“Setiap pagi hari bekerja, rutin saya sejak 2022 saya kejutkan Zayn dan Mateen. Saya mandikan dan beri makan kemudian hantar adiknya ke rumah pegasuh dan saya akan hantar Zayn ke sekolah,” katanya.

Ketika memberi kenyataan pada hari kejadian kanak-kanak autistik itu hilang pada 5 Disember 2023, Ismanira berkata, selepas mengambil anaknya dari sekolah, dia membawa Zayn ke taman permainan sebelum naik ke rumah.

“Sebelum itu, saya ada jemput Zayn pukul 12.05 tengah hari sebab saya ada singgah pasar raya Econsave beli barang untuk masakkan Zayn spaghetti bolognese sebab dia suka.

“Selepas jemput balik, saya ada parkir motosikal di Blok S dan sebelum balik (naik ke rumah) saya akan bawa Zayn main di taman pernainan main buaian dan itu rutin harian (selepas balik sekolah).

“Semasa naik ke rumah dan separuh tangga, saya sedar bunyi tapak kasut (Zayn Rayyan) tiada. Saya kemudian naik ke rumah kerana syak Zayn sudah naik kerana dia tahu rumah dia.

“Namun bila saya sampai ke rumah Zayn memang tiada. Saya tidak dengar dia berlari, kalau berlari saya mungkin terus kejar,” katanya.

Cemas dengan keadaan itu, Ismanira kemudian membuka pintu pagar dan meletakkan barang. Dia membiarkan semua pintu-pintu dibuka dengan harapan apabila anaknya balik Zayn akan masuk ke dalam rumah.

“Saya ada panggil nama ‘Zayn’….’abang’ kat mana, tapi tiada jawapan,” katanya yang kemudian memaklumkan kepada suaminya mengenai kehilangan Zayn Rayyan.

Ujarnya, sepanjang masa dia mengawasi anaknya menerusi bunyi tapak kaki dan Zayn Rayyan akan berjalan sekitarnya termasuk memegang baju.

“Dia akan stres sebab tidak suka dikongkong dan saya faham dia sudah besar, tidak suka dipegang tetapi dia memang akan jalan di sekitar (berhampiran) saya dan dalam pengawasan saya,” katanya.

Tambahnya, dia juga tidak pernah mengabai anaknya seperti mana dalam pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atas Ismanira.

Perbicaraan bela diri akan bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN