KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan bersedia untuk berjumpa dengan pihak penganjur pertemuan lelaki songsang di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini bagi mendapatkan penjelasan sebenar penganjuran acara tersebut.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, selain itu, pertemuan dengan pihak polis juga penting agar tidak berlaku salah faham dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kita tidak menolak sebarang pertemuan dan bersedia untuk berbincang. Jika ada program yang menyentuh sensitiviti masyarakat, mesti terlebih dahulu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan dan Jabatan Kesihatan.
“Program yang bertentangan dengan dasar kerajaan negeri, Islam dan tidak selari dengan adat serta budaya masyarakat Kelantan, kita memang tidak boleh terima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri akan melihat sama ada wujud pelanggaran peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah yang menyebabkan penganjur dikenakan hukuman.
Menurutnya, bagaimanapun, kesilapan yang berlaku menerusi penganjuran pertemuan itu berkemungkinan bukan daripada pihak penganjur, tetapi oleh individu tertentu.
“Kerajaan negeri tidak pernah menyekat pertemuan atau program yang sah, namun lokasi dan masa program perlu diberi perhatian. Saya rasa pemilihan tempat itu tidak sesuai kerana ia dijalankan di kawasan kampung dan berlangsung sehingga pukul 2 pagi,” ujarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE