fbpx
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: Kerajaan teliti akta khusus berkaitan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan penggubalan akta khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akta itu bagi mengimbangi keperluan tadbir urus dan aspirasi Malaysia sebagai peneraju AI serantau.

“Daripada sudut dasar dan hala tuju strategik, Malaysia kini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi gelombang teknologi AI.

“Ini disokong oleh strategi pemindahan teknologi yang praktikal, pembangunan bakat tempatan, kesedaran awam serta pelaksanaan dasar dan kawal selia yang menyeluruh,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gelombang AI.

Terdahulu, Gobind berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif berskala besar untuk meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja negara terhadap teknologi AI.

Kata beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan seperti Program “AI for MY Future” bersama Microsoft menyasarkan hampir 800,000 rakyat Malaysia melalui modul interaktif dan latihan bimbingan.

Katanya, MDEC turut melaksanakan program seperti “MyDigital Maker” dan Cikgu Juara Digital yang menekankan kemahiran digital seperti robotik dan analitik data.

“Inisiatif ‘’AI@Work’’ bersama Google menyasarkan latihan kepada 445,000 penjawat awam melalui penggunaan aplikasi AI seperti Gemini dan NotebookLLM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Malaysia menerajui penubuhan dan mengurusetiakan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN yang mendapat kelulusan rasmi dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-5 (ADGMIN).

Jelas beliau, rangkaian itu akan berpusat di Malaysia dan berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelaras dasar, tadbir urus dan keselamatan AI di rantau ASEAN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN