KUALA LUMPUR – Dasar Luar Malaysia pasca-ASEAN 2025 akan terus memberi fokus untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa berlandaskan prinsip kedaulatan, kebebasan dan berkecuali.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar luar Malaysia tersebut berobjektifkan pembangunan serantau dan global yang mampan.
“Visi ASEAN 2045 menggariskan pendekatan strategik yang menyeluruh dan seimbang, merangkumi ketiga-tiga tonggak bagi memastikan kepentingan ASEAN dipelihara.
“Dalam hal ini Malaysia menyasarkan ASEAN menjadi sebuah komuniti yang lebih teguh, inklusif dan mampan serta berdaya saing,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung hala tuju Dasar Luar Malaysia pasca-ASEAN 2025.
Mohamad berkata, landskap Indo-Pasifik kian berubah dan semakin mencabar dengan persaingan geopolitik dan geoekonomi yang melibatkan kuasa-kuasa besar.
Kata beliau, Malaysia akan kekal komited dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara yang proaktif dalam menyumbang terhadap keamanan dan kestabilan Indo-Pasifik.
Jelas beliau, ia selaras dengan prinsip bebas, berkecuali dan Kepusatan ASEAN yang telah menjadi asas kepada blok ASEAN sejak sekian lama.
“Malaysia akan mempergiatkan aktiviti diplomasi memperkukuh ASEAN sebagai pemegang taruh utama Indo-Pasifik dan menyesuaikan dasar luar kepada realiti geopolitik baharu.
“Meningkatkan keupayaan diplomasi ekonomi dan keselamatan, memperkasa kerjasama Selatan-Selatan dah mengutamakan diplomasi kemanusiaan dan pembangunan mapan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia juga menekankan kepentingan pembinaan kepercayaan secara strategik melalui dialog, budi bicara dan diplomasi terangkum.
Katanya, Malaysia percaya bahawa keterlibatan secara konstruktif dan inklusif merupakan kunci dalam mengurus perbezaan, mengelakkan ketegangan, serta memelihara keamanan serantau dan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE