KLUANG – Seorang lelaki maut selepas trak pikap yang dinaiki hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 56, Jalan Yong Peng-Kluang, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, nahas berlaku pada pukul 11.35 pagi ketika mangsa, Ong Yong Seng, 53, dan rakannya, Chee Keng Yang, 53, dalam perjalanan dari Paloh ke Kluang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipandu Keng Yang dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu di bahu jalan seterusnya terjunam dalam gaung sedalam 10 meter.
“Akibatnya Yong Seng yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Chee Keng pula cedera di bahagian dada dan mendapatkan rawatan sebuah hospital swasta di Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE