ATLANTA – Sepanyol menggalas misi menebus maruah menjelang aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026 menentang Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Atlanta tengah malam nanti.
Skuad La Roja berdepan kejutan pada perlawanan pertama Selasa lalu apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan No. 63 dunia yang juga pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde.
Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente menegaskan, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya menjelang aksi bertemu Arab Saudi dalam usaha mereka memburu kemenangan sulung.
“Masih ada banyak aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi penyudah selain hantaran jauh dan lintang. Setiap hantaran yang dilakukan juga seolah-olah lemah dan tidak cukup laju.
“Bagi saya, hantaran yang pantas mampu meletakkan pemain lawan dalam keadaan tertekan dan mampu membuka ruang untuk kami menyerang. Bagaimanapun, aksi menentang Arab Saudi mungkin lebih berbeza,” katanya.
Tambah beliau, pemain-pemain dan semua staf pasukan bekerja keras melakukan analisis terhadap corak permainan La Roja biarpun mereka sepatutnya berehat sebelum berdepan Arab Saudi nanti.
“Selepas aksi menentang Cape Verde, seluruh pasukan terus membuat kerja masing-masing dan tidak berehat. Situasi sekarang adalah pemain-pemain sudah tidak sabar untuk perlawanan seterusnya,” ujar De La Fuente. – AGENSI














