fbpx

Pearly-Thinaah kecundang aksi final Terbuka Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THINAAH dan Pearly terpaksa akur dengan gelaran naib juara Terbuka Jepun selepas tunduk berdepan pasangan China.

PETALING JAYA – Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mencipta sejarah sebagai pasangan Malaysia pertama menjuarai Terbuka Jepun berkecai apabila tunduk kepada gandingan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pentas final, sebentar tadi.

Dalam aksi selama 45 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Pearly-Thinaah bergelut menyaingi tempo agresif lawan dan akhirnya akur tewas straight-set 15-21, 14-21 sekali gus menjadikan kekalahan kelima berturut-turut kepada pasangan China itu sejak tahun lalu.

Ia turut menafikan peluang beregu No. 3 dunia itu untuk membalas kekalahan dalam final Terbuka Indonesia bulan lalu dan rekod pertemuan keseluruhan kini memihak Sheng Shu-Tan Ning dengan sembilan kemenangan daripada 12 pertemuan.

Meskipun pulang sebagai naib juara, pencapaian mara ke final tetap bersejarah apabila Pearly-Thinaah menyamai rekod Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang menjadi pasangan terakhir Malaysia menjejak final Terbuka Jepun pada 2008.

Ini juga penampilan keempat mereka di pentas final musim ini, dengan satu kejuaraan diraih di Terbuka Thailand, selain bergelar naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan kini di Jepun.

Selaku naib juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182), manakala pasangan China itu membawa pulang AS$70,300 (RM298,500) selepas meraih gelaran kedua berturut-turut dalam Jelajah Dunia BWF. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI