KOTA BHARU – Semua projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan di daerah ini wajib siap dalam tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kesemua projek itu telah diberikan tempoh masa dan peruntukan berkenaan tidak boleh dibawa ke tahun depan.
“Kita mahu rakyat boleh merasa, menghidu dan menyentuh perubahan yang sedang berlaku sekarang ini.
“Secara dasarnya saya berpuas hati dengan perjalanan semua projek dilaksanakan, tetapi sudah tentu masih ada ruang untuk ditambah baik,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke program baik pulih rumah melalui Program Sentuhan Kasih 3.0 di Kampung Penambang di sini hari ini.
Kor Ming memberitahu, KPKT meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM146.22 juta untuk Kelantan bagi pelaksanaan 24 projek pembangunan infrastruktur dan kerja baik pulih.
Menurutnya, kesemua projek berkenaan telah diluluskan di bawah Program KPKT Rolling Plan 5 (RP 5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) 2025 dengan kesemua projek akan dilaksanakan melalui kawal selia lapan jabatan dan agensi di bawah KPKT. – KOSMO! ONLINE