MUAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin dihentikan di Sungai Tui, Lenga, di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, selain operasi SAR dihentikan di kawasan berkenaan, penutupan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga dilakukan hari ini.
“Operasi SAR telah digerakkan serta-merta pada hari yang sama kehilangan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), unit dron JBPM, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Walau bagaimanapun, sehingga kini, mangsa masih belum berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz, penutupan PKTK dan penamatan operasi SAR dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan antaranya bagi memberi ruang kepada pasukan penyelamat untuk memperluas kawasan pencarian ke lokasi-lokasi lain yang berkemungkinan berkaitan dengan kehilangan mangsa.
Selain itu katanya, pencarian terperinci di lokasi kejadian telah selesai dan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui yang menunjukkan keberadaan mangsa di kawasan tersebut.
Ujar Raiz, ia juga bagi memudahkan penyelarasan dan koordinasi antara agensi yang terlibat, khususnya bagi menghadapi kemungkinan kewujudan faktor lain yang menyumbang kepada kehilangan mangsa.
“Proses pencarian akan diteruskan oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan dari pegawai dan anggota IPD Muar secara berkala,” katanya. – KOSMO! ONLINE