BESUT – “Kami percaya dengan sistem perundangan negara dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.”
Demikian kata bapa kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bulan lalu, Allahyarham Nurly Sahirah Azman iaitu Azman Mohamad, 63, ketika diminta mengulas mengenai laporan awal nahas yang dikeluarkan semalam.
Menurutnya, pihaknya tidak mengetahui situasi sebenar kejadian kemalangan itu dan hanya mendengar cerita daripada orang ramai sahaja, punca kejadian hanya dapat ditentukan dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Saya tidak boleh memberi sebarang komen berhubung kejadian itu kerana tidak berada di sana ketika insiden itu berlaku jadinya saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa siasatan mahupun tindakan apa yang perlu diambil.
“Dari sudut lain, saya juga mengikut kata sepakat daripada seluruh keluarga yang terlibat sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya bagi membela nasib pelajar yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Nani Hamid, 49, ibu kepada seorang mangsa tercedera, Nur Ain Najwa Mohd. Ilias berkata, mereka sebelum ini telah berjumpa dengan peguam yang dibawa oleh pihak UPSI bagi membincangkan tindakan undang-undang tetapi kata sepakat belum diambil.
Ujarnya, seharusnya tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu atau syarikat terlibat sebagai peringatan pada masa hadapan.
“Kejadian ini perlu diambil serius kerana ia bukan sahaja mengorbankan nyawa, malah ramai yang tercedera,” katanya.
Rosdi Yunus, 56, bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi berkata, pihak keluarga mangsa telah menyerah dokumen awal kepada peguam bagi membolehkan sebarang tindakan melalui undang-undang dilakukan terhadap mereka yang terlibat.














