NEWCASTLE – Newcastle United kini mengalihkan tumpuan kepada penyerang Liverpool, Darwin Nunez selepas dilaporkan gagal mendapatkan Hugo Ekitike yang semakin hampir menyertai The Reds.
Menurut laporan, Nunez berada dalam radar Eddie Howe dan Liverpool sedia menjual penyerang Uruguay itu dengan harga sekitar £60 juta (RM342.03 juta) pada musim panas ini.
Kegagalan Nunez menembusi kesebelasan utama Arne Slot musim lalu membuka ruang buat perpindahan, malah Newcastle sudah lama memantau situasinya sejak Mac lalu.
Langkah itu muncul selepas usaha mereka mendapatkan Ekitike menemui jalan buntu dengan pemain Eintracht Frankfurt itu memilih menyertai Liverpool menerusi rundingan bernilai lebih £70 juta (RM399.03 juta).
Selain Nunez, Newcastle turut meletakkan Victor Osimhen dalam senarai pendek, namun penyerang Nigeria itu menuntut gaji sekitar £250,000 (RM1.42 juta) seminggu sekali gus melebihi struktur gaji kelab tersebut.
Osimhen menjaringkan 26 gol dalam 30 perlawanan ketika dipinjamkan ke Galatasaray musim lalu dan turut menarik minat Manchester United.
Bagaimanapun, satu nama lain yang semakin mendapat perhatian adalah Yoane Wissa dari Brentford selepas Newcastle gagal mendapatkan Ekitike.
Wissa yang menjaringkan 19 gol musim lalu, terbuka untuk cabaran baharu dan kontraknya bakal tamat pada musim panas 2026.
Newcastle telah menunjukkan minat terhadap Wissa sejak Januari lalu dan nilai perpindahan sekitar £40 juta (RM228.02 juta) dijangka mencukupi untuk menyelesaikan urusan dengan Brentford. – AGENSI