PETALING JAYA – Pemeriksaan awal tidak menemui bukti teknikal yang jelas menyokong dakwaan pemandu bas bahawa kegagalan sistem brek menjadi punca nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.
Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagaimanapun memaklumkan, terdapat tanda-tanda pemanasan melampau dan kehausan komponen brek.
Menurut laporan tersebut, pemanasan melampau dan kehausan komponen brek berkenaan mungkin berpunca daripada penggunaan berlebihan atau teknik membrek yang tidak sesuai semasa menuruni bukit.
“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai.
“Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” kata laporan tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik.
Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE