BRUSSELS – Pentas utama salah satu festival muzik terbesar Eropah, Tomorrowland musnah sepenuhnya akibat kebakaran semalam, sehari sebelum beribu-ribu peminat dijangka turun ke acara di Belgium itu.
Tiada kecederaan dilaporkan, kata penganjur sambil menegaskan bahawa mereka masih akan meneruskan festival hujung minggu berhampiran Antwerp itu selama dua minggu berturut-turut.
Kira-kira 100,000 peserta dijangka berada di bandar Boom, dengan ramai yang merancang untuk berkhemah di tapak festival berkenaan.
“Tapak perkhemahan DreamVille festival itu akan dibuka seperti yang dirancang pada hari Khamis (hari ini),” kata penganjur.
Berpuluh-puluh deejay dan bintang muzik elektronik seperti David Guetta, Lost Frequencies, Armin Van Buuren dan Charlotte de Witte akan membuat persembahan bermula esok untuk hujung minggu pertama.
Pendakwa raya Antwerp telah memulakan siasatan walaupun mereka berkata, kebakaran itu kelihatan tidak disengajakan.
Diasaskan 20 tahun lalu oleh dua saudara lelaki Belgium, Tomorrowland telah menjadi jenama terkenal di peringkat antarabangsa. – AFP