PETALING JAYA – Seorang ibu tular di media sosial selepas berkongsi kisah bagaimana resipi ayam soya dimasak oleh mak cik kantin sekolah anaknya berjaya ‘menawan’ selera si kecil yang selama ini sukar makan di rumah.
Menerusi perkongsian di Thread oleh pengguna akaun, liyanarushdan, wanita itu memuat naik tangkap layar perbualannya bersama guru kelas di WhatsApp.
“Salam cikgu, nak tanya boleh? Tadi tengah hari budak-budak ini makan lauk apa? Dia cakap ayam masak soya. Saif kata dia suka. Dia tu susah makan sikit, tu saya nak tahu masak apa,” soal wanita itu.
“Ada dia cakap juga tadi, saya dengar tukang masak cakap masak soya. Dia suka, dia cakap tadi makan tambah. Dia cakap juga tadi nanti nak suruh mak dia masak,” balas guru tersebut.
Bagi memenuhi permintaannya anak lelakinya, wanita itu mengambil inisiatif meminta resipi daripada pihak sekolah.
Guru berkenaan juga berkongsi senarai bahan yang diperlukan untuk membuat ayam soya.
“Alhamdulillah, terima kasih cikgu. Cakap dekat ummi (mak cik kantin) sudi taip panjang-panjang,” balas wanita itu.
Menjengah di ruangan komen, ramai yang turut teruja untuk mencuba resipi ayam soya di rumah.
“Terima kasih sudi share (kongsi) resipi untuk kaki sekali,” kata @usagi_tsukino89.
“Mantap, aku save (simpan) nak bagi anak aku makan. Ada juga resipi baharu boleh cuba,” kata Alanstagram01. – KOSMO! ONLINE