PETALING JAYA – Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendapat semua A wajar diberi keutamaan untuk kursus pilihan pertama atau kedua mereka ke universiti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau selaku Menteri Pengangkutan malah telah menyuarakan perkara tersebut dalam Mesyuarat Kabinet.
“Sebagai seorang wakil rakyat, saya faham kegusaran itu. Namun, saya akui kekangan tempat di universiti memang wujud setiap tahun. Kepada yang mungkin tidak dapat pilihan pertama jangan sesekali berputus asa.
“Malaysia memerlukan anak-anak muda seperti anda untuk terus melangkah ke hadapan membawa perubahan dan harapan. Teruslah berusaha kerana masa depan negara terletak di tangan anda,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke berkata, beliau mengucapkan syabas serta tahniah kepada semua pelajar STPM yang berjaya dan mereka adalah kebanggaan negara.
Bagaimanapun, katanya, beliau tahu perjalanan selepas STPM bukan mudah dan ramai yang risau tentang peluang melanjutkan pelajaran, tentang tempat di universiti dan tentang beban kewangan yang perlu ditanggung oleh keluarga. – KOSMO! ONLINE