KUANTAN – Seorang pengurus pengemasan bilik sebuah hotel mengalami kerugian sebanyak RM211,000 selepas terperdaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud melalui dalam talian.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 16 Mac lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berusia 49 tahun melihat satu iklan pelaburan di laman Facebook.
“Mangsa kemudiannya menghubungi seorang individu wanita melalui aplikasi WhatsApp dan suspek memperdaya mangsa dengan janji pulangan pelaburan yang tinggi sebelum mangsa diberikan pautan aplikasi pelaburan bagi tujuan pelaburan.
“Mangsa kemudiannya telah membuat enam transaksi ke dua akaun bank berbeza antara 4 Jun hingga 11 Jun 2025 melibatkan jumlah keseluruhan RM211,000 menggunakan simpanan
sendiri,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas transaksi dibuat, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan tetapi mangsa tidak berbuat demikian setelah menyedari tiada sebarang pulangan diterima.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan dan mangsa penipuan disarankan agar segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE