fbpx

Anak Orang Asli Kensui cipta sejarah masuk universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamizah (dua dari kiri) diiringi Razali (tiga dari kiri) ketika mendaftar masuk ke USAS, Perak hari ini.

BALING – Seorang remaja Orang Asli suku Kensui di Kampung Ulu Legong di sini mencipta sejarah apabila menjadi anak pertama komuniti tersebut melangkah ke menara gading.

Hamizah Abdullah, 18, bekas pelajar Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak dalam bidang Diploma Kaunseling sekali gus membuka lembaran baharu buat komuniti minoriti itu.

Lebih menarik, Hamizah bukan sahaja anak Orang Asli pertama dari suku Kensiu yang berjaya ke universiti malah merupakan generasi sulung lepasan Maahad Dini yang berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Hamizah berkata, dia berhasrat untuk menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi muda sukunya agar terus berusaha mengejar kejayaan.

“Saya berasa amat gembira kerana dapat masuk ke universiti. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kerana sentiasa memberikan bantuan, sokongan, dorongan dan semangat kepada anak-anak Orang Asli Kensiu untuk terus maju ke depan lagi.

“Saya berharap dapat memberikan dorongan kepada adik-adik yang masih bersekolah untuk terus berusaha mencapai cita-cita dan kejayaan seperti saya. Saya juga berharap agar satu hari nanti saya dapat kembali membantu masyarakat Orang Asli,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, pegawai LZNK bersama Tok Batin, Razali Kulim, serta keluarganya mengiringi penghantaran Hamizah ke universiti tersebut bagi tujuan pendaftaran kemasukan hari ini.

Tok Batin komuniti Kensiu itu juga menyifatkannya sebagai satu sinar harapan baharu buat generasi akan datang dan bukti bahawa anak-anak Orang Asli juga mampu berjaya setanding masyarakat lain jika diberi peluang.

“Sejak sebelum merdeka lagi, belum pernah ada anak suku Kensiu berjaya ke universiti. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Hari ini, impian itu jadi kenyataan dan saya sangat bersyukur serta bangga dengan kejayaan ini dan berharap agar ramai lagi anak-anak kami dapat mengikuti jejak langkah ini.

“Terima kasih kepada zakat Kedah yang banyak membantu anak-anak Orang Asli ini, bermula dari bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti. Sumbangan dalam bentuk bantuan pendidikan, motivasi dan sokongan berterusan menjadi antara faktor utama kejayaan pelajar ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI