KUALA LUMPUR – Dua saksi bakal dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyiasat mengenai program motivasi eHATI yang didakwa menyimpang dari ajaran Islam seperti yang tular sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, siasatan akan dilakukan terhadap kedua-dua individu itu yang pernah menyertai program motivasi tersebut.
“Jais akan panggil kedua-dua saksi untuk beri kenyataan mengenai program motivasi tersebut. Saya berharap agar saksi-saksi lain juga turut hadir pada hari esok.
“Kedua-dua saksi boleh memperjelaskan isu ini dan semua orang boleh faham dan kebenaran itu boleh kita zahirkan. Perkara ini amat penting untuk pihak yang menjadi saksi untuk tampil ke depan,” katanya kepada pemberita selepas Pra Pelancaran Mahlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa Ke-65 di sini hari ini.
Tambah Mohd. Na’im, pihak JAIS juga turut berkerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan kemungkinan di bawah undang-undang sivil.
“Manakala siasatan pihak JAIS pula adalah di bawah peruntukan Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pendedahan seorang bekas peserta berhubung program tersebut yang didakwa songsang apabila diselitkan dengan acara yang mencolok mata di sebuah pusat konvensyen di sini pada September tahun lalu.
Wanita itu mendakwa eHATI berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta suami isteri dan motivasi kepada wanita terutama mereka yang mempunyai masalah dalam rumah tangga.
Program itu diadakan secara tertutup hanya untuk peserta. – KOSMO! ONLINE