fbpx
Robot humanoid dan anjing telah diperkenalkan kepada umum dalam satu acara demonstrasi yang diadakan di Jakarta baru-baru ini . – AGENSI

Indonesia aplikasi robot canggih dalam sistem keselamatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TRANSFORMASI dunia digital pada masa kini menyaksikan lembaran baharu dalam sektor keselamatan di Indonesia. Negara itu menjadi yang terawal di Asia Tenggara memperkenalkan pasukan polis robotik berteknologi tinggi.

Terdiri daripada robot humanoid dan robot anjing, pendekatan tersebut telah diumumkan secara rasmi oleh Polis Negara Republik Indonesia (Polri) pada akhir bulan lalu.

Keputusan itu membuktikan satu lonjakan besar dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penguatkuasaan undang-undang pada masa kini.

Malah, negara republik itu membuktikan keupayaan unit beruniform mengintegrasi dengan teknologi canggih dalam sistem keselamatan awam.

Langkah tersebut sekali gus menjadikan Indonesia sebaris dengan negara maju seperti China dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang lebih awal mengadaptasi teknologi robotik dalam operasi keselamatan.

Bagi memastikan keamanan masyarakat terus terjamin, pasukan robot tersebut terbahagi kepada dua unit utama.

Unit pertama membabitkan robot humanoid yang berbentuk seperti manusia dengan ketinggian 160 sentimeter.

Unit kedua merupakan robot haiwan seberat 32 kilogram yang menyerupai
seekor anjing.

Kedua-duanya jenis robot berkenaan dilengkapi kamera berdefinisi tinggi, penderia gerakan, sistem pengimbas tiga dimensi (3D) dan teknologi pengecaman wajah.

Robot humanoid dikenali sebagai RoboCop Indonesia, sementara robot berkaki empat digelarkan Anjing Robotik.

Menurut Direktorat Teknologi dan Maklumat Polri, Komisioner Andry Wibowo, semua robot itu dibangunkan khas untuk membantu dalam misi berisiko tinggi seperti pengesanan bom, pengawasan tempat awam, pemantauan trafik dan bantuan ketika insiden tebusan.

“Teknologi ini membolehkan kami mengurangkan risiko kepada anggota manusia terutamanya dalam operasi berbahaya.

“Pembangunan robot AI bersifat humanoid bukan untuk menggantikan fungsi sebenar anggota manusia, tetapi dijadikan sebagai pelengkap tugas mereka,” katanya memetik laporan portal Metro UK.

Kehadiran robot polis itu juga secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada usaha penjenamaan semula imej badan beruniform berkenaan agar lebih kelihatan moden.

Di samping itu, langkah itu membuktikan bahawa penggunaan teknologi bukan sekadar gimik futuristik.

DIFAHAMKAN penggunaan robot bagi kawalan keselamatan di Indonesia melibatkan tiga wilayah utama iaitu Jakarta, Surabaya dan Bali.

Mengulas mengenai kemampuan robotik itu, Andry berkata, robot humanoid mampu berinteraksi secara langsung dengan orang awam termasuk memberi maklumat arah, menjawab soalan asas berkaitan keselamatan serta melakukan rondaan berjadual di di kawasan tumpuan seperti lapangan terbang dan pusat beli-belah.

Dengan menggunakan sistem pengenalan wajah dan analisis tingkah laku, robot itu juga berupaya mengesan kelakuan mencurigakan serta memberi amaran awal kepada pusat kawalan.

Bagi robot anjing pula, ia memiliki kelebihan dari segi mobiliti dan kelincahan.

Ia mampu bergerak pantas di pelbagai permukaan.

Robot tersebut direka khusus untuk memasuki kawasan sempit, mengakses lokasi berisiko seperti bangunan runtuh dan menjalankan tugas pengintipan dalam misi keselamatan.

Menerusi acara demonstrasi awam yang diadakan di Jakarta baru-baru ini, robot anjing menunjukkan kebolehan menyusup ke bangunan simulasi penculikan, mengenal pasti kedudukan penjenayah dan memetakan lokasi dengan ketepatan tinggi.

Kesemua ciri keselamatan yang ada pada robot itu adalah hasil arahan AI berasaskan algoritma tindakan kecemasan, tanpa perlu dikawal oleh manusia secara langsung.

Meskipun bergerak selari dengan trend semasa, namun Andry tetap menegaskan bahawa operasi robotik tersebut tertakluk kepada kod etika yang ketat dan hanya berfungsi di kawasan ditetapkan.

“Kebimbangan tentang penyalahgunaan robot ini adalah berasas. Jadi, kami akan melibatkan pihak ketiga bagi pemantauan penggunaan teknologi ini.

“Anggota polis masa kini perlu lebih celik teknologi, bukan sahaja dalam mengendalikan robot, malah dalam memahami batas etika penggunaannya,” katanya.

Buat masa ini, pasukan robot polis Indonesia hanya tertumpu di beberapa wilayah utama seperti Jakarta, Surabaya dan Bali. Namun, pihak polis sedang menilai keupayaan sistem robotik itu agar dapat diperluaskan penggunaan ke seluruh negara menjelang akhir tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN