IPOH – Kerajaan negeri menyokong penuh pelaksanaan peraturan baharu oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mewajibkan semua pengusaha pelancongan untuk melaporkan sebarang insiden dalam tempoh 24 jam kepada pihak berkuasa.
Di bawah peraturan baharu itu, pengusaha yang gagal berbuat demikian boleh menyebabkan lesen mereka digantung atau dibatalkan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, ketegasan Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing bertepatan dengan keperluan semasa memandangkan situasi keselamatan pelancongan di negara ini kian membimbangkan.
“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, keupayaan negara menerima pelancong dan tahap keselamatan yang ditawarkan akan memberi kesan langsung kepada imej Malaysia di mata dunia dan hasil ekonomi negara.
“Justeru, dasar pelancongan perlu berlandaskan prinsip nyawa pelancong adalah keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut statistik Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, sebanyak 203 kemalangan serius melibatkan bas pelancongan direkodkan sejak 2023 hingga Mei 2025.
Tragedi itu meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa, 68 mangsa parah, manakala hampir 200 cedera ringan.
Beliau berkata, angka itu memberi amaran jelas kepada industri pelancongan dan agensi penguatkuasaan tentang keperluan segera menutup jurang kelemahan sistem keselamatan pelancongan negara.
“Peraturan baharu MOTAC ini akan memainkan peranan pencegahan yang tegas dan memberi isyarat bahawa pengendali pelancongan tidak boleh lepas tangan apabila berlaku insiden.
“Bahkan, ia mendorong kontraktor pengangkutan untuk meningkatkan kawalan dalaman dan keupayaan pengurusan risiko mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE