fbpx
JEMAAH haji Malaysia menaiki bas dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesyen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Masjidil Haram, Mekah.

TH sedia bas percuma 24 jam ke Masjidil Haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Buat julung kalinya, Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan perkhidmatan bas ulang alik daripada hotel penginapan ke Masjidil Haram yang beroperasi selama 24 jam.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, lapan bas disediakan khusus untuk jemaah haji Malaysia secara percuma dan ia dapat memendekkan perjalanan lima hingga 10 minit berbanding 30 minit dengan berjalan kaki.

Katanya, perkhidmatan bas itu bermula pada hari ini sehingga 2 Zulhijjah, namun ia akan diteruskan jika tiada penutupan jalan ke Masjidil Haram.

Menurut beliau, perkhidmatan bas secara ulang alik itu akan beroperasi daripada Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesyen Bas Jarwal yang terletak kira-kira 600 meter berhampiran Dataran Masjidil Haram.

“Kesemua bas ini beroperasi sepanjang hari selama 24 jam dan ini merupakan bukti komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji untuk tahun ini.

“Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar serta dapat membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Bas Ulang Alik Jemaah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, pihaknya berhasrat untuk menambah bilangan bas daripada lapan kepada 10 buah yang bergantung kepada keperluan semasa.

Katanya, inisiatif itu diharapkan dapat membantu menjamin tahap kesihatan para jemaah khususnya warga emas terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari Wukuf.

Katanya, ia memandangkan keadaan cuaca semakin panas di Tanah Suci.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN