fbpx
KURSUS motivasi dan program-program berunsur kerohanian menjadi platform oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fahaman New Age Movement. – GAMBAR JANAAN AI

Seminar ‘healing’ serap unsur syirik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Gerakan New Age Movement yang membawa fahaman bercanggah dengan akidah Islam selain mengan­dungi unsur syirik dan khurafat kini secara halus mula menyusup dalam masyarakat dengan berselindung di sebalik platform motivasi, pembangunan diri dan rawatan alternatif.

Lebih membimbangkan apabila gerakan ini turut disebarkan secara terang-terangan di sebalik konsep ‘healing’, ‘energi dalaman’, ‘niat rohani’ dan kesedaran kosmik.

Antara pegangan utama fahaman ini ialah kepercayaan bahawa manusia mampu mencipta realitinya sendiri melalui ‘kuasa niat’ dan ‘getaran tenaga positif’ selain menolak konsep Tuhan Yang Esa dan menggantikannya dengan ‘alam semesta’, ‘energi pencipta’ atau ‘kesedaran ilahi’.

Selain itu, fahaman ini turut mempromosikan konsep reinkarnasi, karma, dan pluralisme agama (semua agama dianggap sama menuju ‘sumber ilahi’ yang satu).

Turut dipraktikkan adalah penggunaan istilah-istilah seperti healing energy, chakras, divine alignment dan awakening sebagai saluran pencarian diri.

Mendedahkan perkara itu, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, gerakan tersebut bukan sekadar aliran pemikiran asing, tetapi ia membawa fahaman sesat yang sangat licik dan berjaya menyusup dalam bentuk lembut, moden serta menggoda.

“Dari sudut Islam, ajaran dan amalan gerakan yang mula berkembang pesat di Barat sekitar tahun 1970-an itu merupakan ancaman serius terhadap aqidah umat.

“Apa yang membimbangkan, elemen-elemen ajaran ini telah mula menyusup masuk ke dalam kursus motivasi, bengkel kerohanian dan sesi terapi alternatif yang menarik perhatian ramai umat Islam di negara ini.

“Hal ini berlaku secara halus dan penuh gaya yang disebarkan melalui media sosial, video TikTok, aplikasi pencerahan diri, dan program-program berbentuk ‘energi positif’ atau ‘rawatan ­spiritual’,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

Jelas beliau, New Age Movement telah membawa beberapa bentuk kesesatan yang nyata antaranya merosakkan konsep tauhid, mengandungi unsur syirik dan khurafat, mempromosikan pluralisme agama dan relativisme moral serta menyesatkan umat Islam secara halus.

MOHD. SUKKI

Dalam pada itu katanya, ins­titusi agama termasuk jabatan mufti, pihak berkuasa agama ne­geri dan institusi pendidikan perlu tampil memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat.

“Selain itu, golongan asatizah dan pendakwah juga perlu membekalkan diri dengan kefahaman mendalam tentang cabaran kerohanian pascamoden seperti ini.

“Apa yang penting, umat Islam hendaklah tegas dalam pendirian, berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dan tidak mudah terpesona dengan istilah kerohanian yang tiada sandaran syarak.

“Aqidah adalah tunjang utama umat. Sekali ia digugat, maka seluruh kekuatan umat akan runtuh perlahan-lahan tanpa di­sedari,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang turut memandang serius penularan fahaman New Age Movement yang mana fahaman itu bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama serta penyelewengan wahyu dan syariat.

Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, gerakan ini begitu mudah menyerap ke dalam kursus-kursus pembangunan kendiri, seminar ‘healing’ dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral tetapi sebenarnya membawa ajaran yang terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Umat Islam diingatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana bentuk program yang menggunakan unsur metafizik dalam silibusnya yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, fahaman ini adalah kepercayaan dan praktis kebatinan yang dikumpul dan disistematikkan oleh tokoh kebatinan Barat.

ASMADI

Dikatakan antara amalan dan gerakan yang melanggar akidah Islam termasuk konsep law of attraction, tilik nasib, astrologi (zodiak), numerology (wafaq), bibliomancy (garpu tala), Chakra (tenaga dalam).

Selain itu, mereka juga membawa praktis spiritual kebatinan iaitu meditasi, yoga, hipnosis, dan teknik penyembuhan dengan mendakwa menggunakan tenaga dalam.

Menurut Asmadi, New Age Movement adalah ajaran yang melanggar akidah sebagai orang Islam dan harus dielakkan oleh umat Islam

Katanya, cara terbaik motivasi adalah mendekatkan diri dengan masjid dan program yang dianjurkan pihak masjid di seluruh negeri.

Jelasnya, fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah serta turath ulama muktabar adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan rohani umat Islam.

Semalam, Kosmo! melaporkan penganjuran eHATI di sebuah pusat konvensyen di sini pada September tahun lalu yang mencetuskan kontroversi hangat disifatkan sebagai program motivasi rumah tangga ‘terlampau’ yang melanggar syariat Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN