WASHINGTON – Sekumpulan saintis memberi amaran bahawa tsunami setinggi 30 meter berisiko melanda pantai barat Amerika Syarikat (AS) yang boleh meragut nyawa beribu-ribu orang, lapor laman akhbar Metro UK kelmarin.
Ancaman bencana alam itu berpunca daripada Zon Benam Cascadia iaitu garis sesar 1,126 kilometer dari utara California ke British Columbia di Kanada, yang tidak aktif selama 300 tahun.
Menurut saintis, berdasarkan model kajian, adalah lebih baik sekiranya bencana itu berlaku dalam masa lebih cepat kerana tsunami yang lebih dahsyat akan tercetus sekiranya paras air laut terus meningkat.
Misalnya menjelang tahun 2100 iaitu apabila aras laut meningkat akibat perubahan iklim, ia akan menambahkan lagi bahaya dan kesannya, demikian menurut artikel dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
Ini kerana gempa bumi kuat boleh menyebabkan dataran banjir meluas, dengan lebih tiga kali ganda pendedahan kepada penduduk, struktur dan jalan raya di bawah senario penenggelaman tinggi berbanding tahun 2023.
Tambah kajian itu, terdapat kebarangkalian 37 peratus gempa akan berlaku di rantau Barat Laut Pasifik dalam setengah abad akan datang.
Satu kejadian gempa bumi hampir dijamin akan berlaku pada tahun 2100, kata kajian tersebut.
“Pastinya ini akan menjadi peristiwa yang sangat dahsyat untuk AS,” kata penulis utama kajian itu, Tina Dura kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).
“Tsunami akan berlaku dan ia akan membawa kemusnahan,” katanya.
Gempa bumi bermagnitud 8.0 hingga 9.0 boleh mewujudkan tsunami setinggi 30 meter yang mampu menghancurkan 2.4 meter garis pantai dan menghapuskan sebahagian besar pantai barat.
“Selepas tsunami datang dan akhirnya surut, tanah itu akan kekal berada pada paras lebih rendah.
“Jejak dataran banjir akan berubah selama beberapa dekad atau bahkan berabad-abad lamanya,” kata Dura.
Gempa berskala tersebut berisiko menyebabkan 5,800 kematian dan tsunami seperti itu boleh meragut 8,000 nyawa lagi, demikian menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan.
Pantai negeri California, Oregon dan Washington sehingga ke utara Pulau Vancouver di Kanada adalah yang berada di bawah ancaman berkenaan.
Gempa bumi besar terakhir bermagnitud 9.0 di rantau itu berlaku pada Januari 1700 dan mencetuskan tsunami yang menenggelamkan Teluk Pachena di British Columbia.
“Kajian ini menggariskan keperluan untuk mempertimbangkan gabungan gempa bumi dan kesan iklim dalam merancang daya tahan pantai di zon benam Cascadia dan secara global,” kata artikel itu. – AGENSI