Pengumuman Bank Negara turunkan OPR (Kadar Dasar Semalaman) ke 2.75 peratus baru-baru ini, mungkin membuatkan ramai dalam kalangan yang berhutang dengan bank sama ada pinjaman kereta, rumah atau bisnes tersenyum lebar kerana bayaran bulanan akan turun sedikit.
Tentunya ramai rasa lega dan ada ruang untuk sedikit bernafas apabila masing-masing ada lebihan sekitar RM100 atau RM200 sebulan. Kira macam dapat bonus tak rasmi.
Namun, rasanya tidak semua orang pandai urus ‘bonus’ itu dengan baik. Rasanya dalam kepala sudah macam-macam fikir ke mana mahu belanja duit lebih itu.
Ada yang mahu tukar telefon baru, upgrade langganan streaming atau rancang tempat bercuti hujung minggu.
Tidak salah untuk berbelanja, tetapi rasanya kenalah bijak uruskan lebihan duit yang ada supaya ia benar-benar bermanfaat kepada kita.
Turunnya kadar OPR bukannya bermakna kita kaya, sebaliknya cuma ruang untuk kita stabilkan kewangan seketika, bukan alasan untuk mula berbelanja ikut nafsu.
Seeloknya inilah masanya untuk kita isikan tabung kecemasan atau lunaskan hutang dengan lebih cepat. Simpan untuk hari ‘mendung’, bukannya tambah komitmen tidak tentu fasal.
Pastinya, kita tidak tahu berapa lama OPR akan kekal rendah. Kalau ikut pengalaman sebelum ini, bila-bila masa boleh naik semula. Masa itu, mereka yang tambah komitmen mula terasa tersepit.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ketika Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah diperluaskan yang sudah tentu menyebabkan harga barang serta perkhidmatan tertentu akan meningkat.
Jadi hakikatnya, walaupun bayaran bulanan hutang ketika ini menjadi ringan, tetapi jangan dilupa belanja harian sebenarnya semakin berat.
Jadi kawallah nafsu waktu ada peluang ketika ini, nanti bila kadar OPR naik semula, bayaran bulanan hutang akan naik dan ditambah pula dengan harga barang yang sudah sedia naik.
Mungkin masa itu, kita akan menyesal tidak menggunakan peluang ini untuk berhemat.
‘Reward’ lah diri, tapi sikit-sikit sudahlah, jangan sampai lupa tanggungjawab jangka panjang. Hidup bukan untuk seminggu, tapi untuk bertahun-tahun akan datang.
Orang bijak bukan yang banyak duit, tapi yang tahu buat apa dengan duit yang dia ada. Sekarang ni masa untuk bertindak bijak, bukan belanja sakan.
Jadi, bila hutang jadi ringan, fikir panjang, rancang elok-elok. Duit yang kita jimat hari ini, mungkin penyelamat kita satu hari nanti.
















