JOHOR BAHRU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia membantu menaikkan bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini, Khamis lalu.
Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Noor Sham Md. Jani berkata, bangkai helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG dijangkakan dinaikkan dalam masa terdekat.
“Bangkai pesawat helikopter masih lagi di dasar (Sungai Pulai), kita jangkakan dalam masa terdekat ini akan dinaikkan dengan bantuan daripada pasukan-pasukan keselamatan sahabat seperti TLDM dan APMM yang bersedia untuk membantu pihak Pasukan Gerakan Udara PDRM untuk menaikkan bangkai ataupun pesawat yang tenggelam.
“Dengan adanya bantuan daripada agensi terbabit, proses untuk menaikkan akan lebih cepat supaya Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan dengan lebih lanjut tentang apa isiden yang berlaku pada hari tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat kru helikopter yang terlibat di lobi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Noor Sham berkata, pihaknya menjangkakan bangkai helikopter tersebut akan dinaikkan esok atau lusa.
“Mungkin esok atau lusa, bangkai pesawat itu akan dinaikkan atau ditimbulkan untuk proses-proses selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, kotak rakaman suara antara pesawat dengan anggota yang bertugas di bawah semasa kejadian masih berada di dalam bangkai helikopter.
“Itu yang kita nak (rakaman) dengan komunikasi macam mana yang berlaku pada hari tersebut (untuk siasatan),” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi, Khamis lalu, lima kru helikopter PDRM itu terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini.
Insiden itu berlaku ketika helikopter melakukan lintas hormat Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Akibat kemalangan itu, dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran dilaporkan kritikal.
Juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE