KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) meraih suntikan semangat selepas menerima ‘durian runtuh’ bernilai RM1 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang kempen Liga Malaysia 2025/2026 yang bermula Ogos depan.
Insentif itu telah diumumkan oleh Anwar ketika berucap pada Majlis Jubli Emas KLFA di sini sebentar tadi.
“Ini satu-satunya acara yang saya hadiri di mana tidak orang meminta dana.
“Jadi saya ucapkan terima kasih dan walaupun tidak memohon (dana), saya berikan RM1 juta,” kata Anwar.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut memuji pendekatan badan induk pengurusan skuad Warga Kota untuk menghidupkan semula legasi mereka dengan mengukuhkan peringkat akar umbi.
Anwar mengiktiraf usaha dilakukan Penaung KLFA yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar yang memberikan komitmen melangkaui sukan.
“Ia bukan sekadar soal dana semata-mata, tetapi juga meliputi kemudahan padang, pusat latihan serta akademi yang lengkap supaya anak-anak dapat dilatih dengan baik dan selesa,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan logo baharu pasukan KL City FC dan juga jersi baharu pasukan untuk musim 2025/26.