JAKARTA – Seorang budak lelaki Indonesia yang menari di depan perahu dalam satu pertadingan di Riau menjadi sensasi internet sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lapor portal berita Arab News semalam.
Aksi Rayyan Arkhan Dikha,11, menjadi trend global dan ditiru atlet terkenal serta ribuan yang lain di seluruh dunia.
Perbuatan Rayyan menari itu dikenali sebagai ‘aura farming’ iaitu ungkapan internet yang dipopularkan pada tahun 2024, merujuk kepada watak anime dan selebriti.
Berpakaian tradisional gelap dan memakai cermin mata hitam, Rayyan yang berasal dari wilayah Riau digelar mempunyai ‘aura terbaik’ di media sosial kerana melakukan siri gerakan berulang dengan tenang di depan perahu lumba.
Video menunjukkan dia menari sehingga mencatatkan berjuta-juta tontonan di seluruh dunia.
Kanak-kanak Indonesia itu menyertai pertandingan perahu laju dikenali sebagai pacu jalur yang secara tradisinya bermula sejak awal abad ke-17.
“Pacu jalur menjadi salah satu Warisan Budaya Tidak Ketara Indonesia sejak 2015,” kata Menteri Kebudayaan Fadli Zon dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan Rayyan di pejabatnya di Jakarta, Rabu lalu.
“Ia sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat (Kuantan Singingi), termasuk untuk meraikan hari raya dan hari kemerdekaan,” tambahnya.
Semasa perlumbaan, setiap perahu mempunyai ‘anak coki’ iaitu penari yang menggerakkan tangan dan badan secara berirama untuk membangkitkan semangat juang pendayung.
Setiap ‘anak coki’ mempunyai tarikan tersendiri, namun Rayyan yang menyertai perlumbaan itu sejak berumur 9 tahun, dianggap sebagai ‘wajah’ tradisi pacu jalur.
Walaupun klip video asal memaparkan Rayyan disiarkan di TikTok pada Januari lalu oleh pengguna bernama Lensa Rams dan acara itu diadakan pada Ogos 2024, Rayyan hanya meraih populariti global sejak beberapa minggu lalu.
Tarian itu ditiru pemain-pemain kelab Paris Saint-Germain dan bintang bola sepak Amerika, Travis Kelce serta teman lelaki penyanyi pop, Taylor Swift.
Gabenor Riau menamakan Rayyan sebagai duta pelancongan untuk wilayah itu dan menganugerahkan biasiswa 20 juta rupiah (RM5,300) untuk pendidikannya. – AGENSI