PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan selama hampir dua jam pagi ini sekali lagi mengakibatkan banjir kilat di Bukit Kemuning, Seksyen 32, Shah Alam.
Menerusi siaran langsung yang dimuat naik seorang pengguna di aplikasi TikTok, kelihatan paras air naik mendadak sehingga mencecah lutut di kawasan luar rumah, manakala air turut dilaporkan masuk ke dalam rumah setinggi paras buku lali.
Menurut pengguna tersebut, kejadian dipercayai berpunca daripada sistem pam air yang gagal berfungsi akibat tersumbat, selain didakwa berlaku kesilapan semasa proses pemasangan sehingga menjejaskan operasinya.
“Pam air itu katanya dipasang terbalik. Sebab itu air tak dapat disalurkan keluar seperti sepatutnya,” katanya menerusi siaran langsung berkenaan.
Katanya, selepas aduan dibuat oleh penduduk, pihak berkuasa tampil segera ke lokasi dan membaiki sistem berkenaan.
“Kami diberitahu pihak teknikal dah datang betulkan pagi tadi. Sekarang ini cuma tunggu air surut, mungkin ambil sedikit masa,” ujarnya.
Insiden banjir kilat itu turut menjejaskan rutin harian penduduk, termasuk ada yang tidak dapat keluar bekerja.
Rata-rata orang ramai di media sosial turut berkongsi mendengar petir yang kuat sekitar pukul dua pagi beserta hujan lebat berterusan.
“Semalam pukul dua pagi, bunyi kilat sangat menakutkan seolah-olah Allah sedang marah,” kata seorang pengguna di media sosial.
“Bunyi petir sangat kuat sehingga tak dapat tidur sebab takut,” kongsi seorang lagi pengguna.
Terdahulu, kejadian banjir kilat di kawasan sama turut dilaporkan pada 20 Jun lalu selepas hujan lebat tanpa henti selama empat jam. -KOSMO! ONLINE