KUALA LUMPUR – Misi skuad bawah 23 (B-23) negara untuk meraih kemenangan bersih pada tiga aksi pemanas badan sebelum mengharungi saingan Piala Asean B-23 tidak kesampaian selepas tewas 0-1 pada perlawanan bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Hobin Jang Hobin berjaya meraih gol tunggal perlawanan hasil penyudah pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee pada separuh masa pertama.
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain mengakui keputusan perlawanan bukanlah kayu ukuran sebaliknya persiapan pemain lebih utama sebelum berlepas ke Jakarta pada Ahad ini.
“Kita berjaya menang dua perlawanan dan satu tewas, tetapi bukanlah keputusan yang kita lihat sebaliknya mentaliti pasukan untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sebelum ini, skuad muda Harimau Malaya berjaya menewaskan dua pasukan Liga Super, PDRM FC 1-0 dan Melaka FC (4-1) pada dua perlawanan pemanas badan baru-baru ini.
Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei pada 18 Julai sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia tiga hari kemudian. – KOSMO! ONLINE