KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) menegaskan bahawa pelaksanaan tarif global yang diumumkan, baru-baru ini tidak akan menjejaskan hubungan dengan negara-negara ASEAN, sebaliknya menegaskan komitmen dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang strategik seperti keselamatan siber dan ekonomi digital.
Setiausaha AS, Marco Rubio berkata, selepas beberapa siri pertemuan dua hala dengan pemimpin ASEAN, beliau menolak kebimbangan bahawa tarif baharu itu akan menyebabkan negara-negara Asia Tenggara menjauhkan diri daripada AS.
“Tidak, saya tidak bimbang tentang perkara itu. Ia tidak akan berlaku kerana tarif ini dikenakan secara global. Ia tidak ditujukan kepada mana-mana negara atau rantau secara khusus,” tegasnya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambah beliau, tarif tersebut adalah sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk menangani defisit perdagangan yang besar dialami oleh AS dengan banyak negara.
“Selama 20 atau 30 tahun, AS telah mengalami defisit perdagangan yang besar dengan banyak negara, termasuk Eropah, Kanada, Mexico dan juga rantau ini. Itu perlu ditangani dan itulah yang sedang dilakukan oleh Presiden (Donald Trump),” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Trump mengumumkan bahawa levi keselamatan negara sebanyak 50 peratus ke atas import tembaga logam penting bagi teknologi tenaga hijau, akan mula dikuatkuasakan bermula 1 Ogos ini.
Pengumuman itu turut menyaksikan kenaikan mendadak tarif perdagangan ke atas beberapa negara rakan dagang AS, selepas penangguhan hampir semua tarif yang diumumkan pada April lalu kecuali kadar 10 peratus.
Penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada negara-negara terbabit untuk merundingkan semula perjanjian perdagangan dengan Washington. – KOSMO! ONLINE