fbpx
GURU dahulu yang sinonim sebagai pendidik di dalam kelas kini banyak menghabiskan masa di luar kelas demi memenuhi kehendak sistem dalam mencungkil bakat murid serta melonjakkan nama sekolah.

Besar sangat ke bebanan tugas guru?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUGAS guru pada hari ini tidak lagi terhad kepada menyampaikan ilmu di bilik darjah atau memastikan silibus pelajaran diselesaikan mengikut jadual.

Sebaliknya, guru turut memikul tanggungjawab sebagai jurulatih, pengurus, bahkan menjadi jurukamera dan pengarah demi melatih dan menggilap bakat murid dalam pelbagai pertandingan di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Hala tuju pendidikan masa kini adakalanya tampak semakin menyimpang daripada teras asalnya. Dahulu, sekolah berlumba-lumba mengejar kecemerlangan pencapaian akademik, kini fokus itu beralih kepada penglibatan aktiviti kokurikulum dan seberapa banyak pertandingan disertai.

Guru dahulu yang sinonim sebagai pendidik di dalam kelas, kini banyak menghabiskan masa di luar kelas, turun ke padang, ke pentas, ke studio demi memenuhi kehendak sistem dalam mencungkil bakat murid serta membantu melonjakkan nama sekolah.

Persoalannya, adakah ini hala tuju pendidikan yang kita mahu? Atau kita sedang tersasar dalam mendefinisikan maksud sebenar kecemerlangan dalam dunia pendidikan?

Tidak dinafikan melahirkan generasi serba boleh itu bagus, namun adakah barisan pendidik cukup bersedia menggalas beban tugas yang kian bertambah?

Lebih membimbangkan jika sesi pembelajaran tidak berlangsung seperti yang dijadualkan gara-gara guru terikat dengan komitmen mengiringi pelajar keluar bertanding. Kesudahannya, guru terkejar-kejar menyelesaikan silibus, manakala pelajar tercungap-cungap mencerap segala ilmu yang disumbat dalam tempoh singkat sebelum menduduki peperiksaan.

Senario ini semestinya tidak adil buat pelajar, apatah lagi dengan silibus kini yang tahapnya lebih tinggi, ramai tercicir dan bergelut untuk memahami subjek dipelajari.

Sebaiknya, pihak kementerian dan pengurusan sekolah mencari titik keseimbangan antara akademik dan kokurikulum dalam melahirkan pelajar serba boleh. Jangan sampai keluar dari landasan asal kerana pada akhirnya permohonan ke pusat pengajian tinggi atau asrama penuh, pemberatnya adalah akademik.

Perlu dipertimbangkan juga kesediaan barisan guru untuk menggalas beban tugas yang berlebihan kerana mereka nadi utama premis pendidikan. Mereka bukan robot yang boleh diprogram, sehingga ada antaranya yang terpaksa berkampung di wad hospital. Kalau sudah namanya manusia ada limitasi biar sekuat mana pun tenaga seseorang itu.

Ramai guru hilang minat untuk meneruskan karier kerana bebanan tugas yang melampaui kemampuan mereka dan memilih untuk bersara awal. Sudah semestinya ini satu kerugian besar buat dunia pendidikan. Fikir-fikirkanlah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN