KEM beregu campuran negara dijangka memiliki peluang cukup cerah untuk membawa pulang pingat menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis bulan depan.
Keyakinan itu disuarakan bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying yang menaruh sepenuh keyakinan terhadap kemampuan barisan pemain meskipun tidak mengharapkan kilauan emas.
Beliau yang pernah memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon berkata, membawa pulang kilauan pingat sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan buat pemain-pemain Malaysia.
“Secara jujur, kalau kita mahu mendapatkan pingat pada Kejohanan Dunia nanti, memang ada peluang. Tidak semestinya ia pingat emas kerana dapat apa-apa pingat pun sudah menjadi satu kejayaan,” katanya.
Pada kejohanan yang akan bermula dari 25 hingga 31 Ogos itu nanti, misi pasukan negara digalas beregu No. 3 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (No. 6) serta gandingan No. 13 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Sementara itu, Liu Ying turut menganggap isu melibatkan Tang Jie dan Ee Wei sehingga mereka dipisahkan buat seketika sebelum ini adalah proses pembelajaran buat kedua-dua pemain tersebut untuk menjadi lebih matang.
“Saya rasa ia merupakan proses yang bagus kerana kita kena gagal dahulu sebelum menemui kejayaan. Kalau mereka dapat melepasi fasa ini dan saling memahami, saya fikir itu satu petanda yang baik.
“Semua beregu mesti pernah bergaduh tetapi apa yang paling penting adalah matlamat sama untuk berjaya. Kalau ada komunikasi dan kerja keras, semua masalah boleh diatasi dengan baik,” ujarnya.