fbpx

Ramai ziarah, doakan di pusara 6 beranak lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI Jawatankuasa Masjid At Taqwa berdoa di pusara enam beranak yang ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra pada Isnin lalu. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

JERLUN – Pusara enam beranak yang ditemukan lemas di dalam kereta di Sungai Korok, Jitra pada Isnin lalu sering dikunjungi orang ramai sehingga hari ini.

Orang ramai termasuk ahli keluarga dan kenalan mangsa serta penduduk berdekatan mengambil kesempatan menziarahi dan berdoa di pusara enam beranak yang disemadikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid At Taqwa di sini.

Jenazah enam beranak yang disemadikan di situ ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Orang ramai juga dilihat mengunjungi pusara seorang lagi anak pasangan suami isteri tersebut yang merupakan kembar kepada Tuah Haydar iaitu Jebat Haydar.

Jebat Haydar meninggal dunia pada Februari lalu kerana masalah kesihatan.

Adik kepada Allahyarham Mohamad Azim Izat, Muhammad Adlan Solehin, 24, berkata, dia dimaklumkan ramai yang mengunjungi pusara arwah abang dan keluarga serta turut menyantuni anak saudaranya, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kini yatim piatu.

“Ramai beritahu pusara arwah abang, kakak ipar serta anak-anak sentiasa dikunjungi orang ramai. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah sekeluarga.

“Cuma diharapkan tidak berlaku perkara-perkara yang dilarang agama di situ,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Aman, Jitra dekat sini.

Sementara itu, katanya, Putri Qisya dengan bantuan ibu saudaranya pada semalam telah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyelesaikan urusan sijil kematian ibu bapa serta adik-adiknya serta membuat MyKad.

“Terima kasih kepada semua yang membantu melancarkan urusan Qisya dan keluarga kami. Terima kasih juga kepada yang memberi sumbangan kepada anak saudara saya serta yang hadir mengunjungi ibu saya serta keluarga mentua arwah abang,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Masjid At Taqwa, Mhd Shukri Hassan berkata, ramai yang dilihat singgah dan berdoa di pusara enam beranak itu sejak Selasa lalu.

“Ada juga yang berhenti di luar tembok pagar masjid dan menadah tangan mendoakan kesemua arwah memandangkan pusara enam beranak ini terletak bersebelahan jalan kampung ini,” katanya.

Namun begitu, katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelak mana-mana pihak mengambil kesempatan melakukan perkara khurafat di pusara berkenaan.

“Kita sudah berhubung dengan pihak polis dan pejabat agama, jika ada sebarang perlakuan mencurigakan, kita akan melaporkannya kepada pihak tersebut untuk tindakan lanjut.

“Ia perlu kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di Terengganu iaitu di pusara Allahyarham Nurly Shahirah berlaku di sini,” tambahnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok Isnin lalu.

Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.

Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Seri Aman, Jitra. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI