SEREMBAN – Sepasang kembar lelaki dari Parit Buntar, Perak mencuri perhatian pada hari pendaftaran pelajar baharu Program Tamhidi (Asasi) Sesi Akademik 2025/2026 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila hadir dengan semangat luar biasa dan impian besar untuk membahagiakan ibu yang membesarkan mereka.
Muhammad Iman Atiq dan Muhammad Iman Atif Muhamad Yazee, masing-masing berusia 18 tahun, mendaftar ke Program Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains bersama 447 pelajar lain.
Mereka merupakan anak sulung dan kedua daripada empat beradik, dibesarkan oleh ibu mereka, Zaihan Mohmad Zaini, selepas kehilangan bapa sewaktu berada di tingkatan tiga.
“Impian kami adalah untuk menjadi doktor pakar, sebagai hadiah buat ibu yang banyak berkorban untuk membesarkan kami,” katanya selepas selesai proses pendaftaran.
Seramai 1,493 pelajar baharu yang diterima ke Program Tamhidi sesi kali ini.
Selain Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains, program lain yang mencatat penyertaan termasuk Tamhidi Syariah dan Undang-Undang (526 pelajar), Tamhidi Perakaunan dan Muamalat (356 pelajar), serta Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi (164 pelajar). – KOSMO! ONLINE