KUALA TERENGGANU – Jabatan Bedah Saraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini berjaya melaksanakan pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar buat kali pertama di Terengganu baru-baru ini.
Pesakit wanita berusia 33 tahun yang mengalami sawan fokal, kelemahan otot muka dan gangguan pertuturan itu menjalani pembedahan tersebut pada 29 Jun lalu.
Pengarah Kesihatan Terengganu , Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, imbasan menggunakan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) terhadap lelaki tersebut sebelum itu menunjukkan kehadiran tumor pada lobus frontal kiri yang berdekatan kawasan kritikal mengawal pertuturan.
“Bagi mengelakkan risiko kecacatan neurologi, pendekatan kraniotomi sedar telah dipilih agar pemantauan pertuturan dan fungsi motor dapat dilakukan secara langsung sepanjang pembedahan.
“Sebelum pembedahan dilakukan, sesi persediaan dan latihan pra-operasi turut dijalankan bersama pesakit bagi memastikan kelancaran prosedur,”katanya di sini hari ini.
Kasemani berkata, Beliau berkata, pesakit diberi bius setempat dan ubat penenang semasa prosedur pembedahan sebelum dibawa ke fasa sedar untuk penilaian fungsi neurologi secara langsung oleh pasukan neurologi dan psikiatri.
Beliau berkata, tumor kemudiannya dikeluarkan dengan teliti oleh pakar bedah saraf menggunakan mikroskop dan teknologi pembedahan berpandukan imej (IGS).
“Prosedur pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar itu berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi dan pesakit terbabit dibenarkan pulang dua hari kemudian dalam keadaan bebas sawan serta tanpa defisit neurologi,” katanya. – KOSMO! ONLINE